5 Gejala Menopause Yang Semua Wanita Perlu Tahu Bila Putus Haid

Gejala Menopause



Jangan ingat kita muda lagi, kita tidak akan kena menoapause. Maka,berjaga-jagalah sebelum ia berlaku.

Menopause merupakan suatu gejala normal yang akan dialami oleh setiap wanita sebagai satu petanda usia semakin tua.  Menopause terjadi kerana seorang wanita itu dikatakan telah putus haid dan tiada lagi pengeluaran  telur yang menghasilkan hormon estrogen.


Apa itu hormon estrogen?


Hormon estrogen adalah hormon seks bagi wanita yang dihasilkan semasa remaja sehingga sampai masa menopause.  Kadar penghasilan hormon estrogen yang semakin rendah akan menyebabkab pelbagai kesan seperti berpeluh, panas badan, jangkitan kuman di bahagaian saluran urin dan berlaku radangan pada vagina.
Berapakah umur yang dijangka mengalami menopause?

Selalunya wanita akan mengalami menopause pada umur 45 ke atas, tetapi ada yang lebih awal iaitu seawal usia 40 tahun.  Pelbagai gejala yang akan berlaku kepada penghidap gejala menopause.  Jika sudah sampai masanya anda menopause, pelbagai cara boleh anda lakukan bagi menangani gejala menopause ini.  Jom, kita kenalpasti tanda tanda menopause dan cara menanganinya.

1. Pendarahan


Tanda-tanda awal menopause ialah seperti berlakunya pendarahan daripada vagina.  Pendarahan yang keluar ini bukan seperti pendarahan ketika datang haid atau saat menstruasi iaitu secara teratur.  Tetapi pendarahan yang berlaku ke atas wanita menopause adalah secara tidak teratur.

Selalunya pendarahan ini hanya akan keluar sewaktu permulaan menopause.  Pendarahan ini biasanya akan terjadi beberapa kali dalam masa beberapa bulan dan terus akan berhenti keluar.  Gejala ini juga dikatakan sebagai gejala peralihan kerana muncul pada awal menopause.

2. Masalah emosi


Kebanyakan wanita yang akan memasuki fasa menopouse ini seringkali mempunyai emosi yang tidak menentu.  Emosi ini sering dikaitkan dengan masalah daya ingatan menjadi lemah, mudah marah, perubahan mood yang sangat cepat dan sensitif atau pun mudah tersentuh.

Apabila emosinya mula terganggu, banyak tindakan yang dilakukan tidak mendapat fokus yang secukupnya.  Oleh hal yang demikian, wanita yang telah lanjut usia ini selalunya disarankan berehat dan tidak perlu melakukan kerja-kerja yang boleh mendatangkan stress kepadanya.

Gangguan emosi juga boleh menyebabkan seseorang itu akan susah untuk tidur.  Apabila tidur tidak mencukupi, wanita menopause akan mudah lemah dan letih.

3. Jangkitan kuman di saluran kencing


Bagi wanita yang menopause, masalah jangkitan kuman di saluran kencing sering berlaku.  Hal ini berlau kerana semasa menopause, pengeluaran hormon estrogen sudah semakin menurun.

Jika hal ini terjadi, dinding uterus atau dinding rahim akan semakin menipis.  Jadi, jika pasangan melakukan hubungan seks dalam keadaan tidak mementingkan kebersihan, saluran kencing wanita menopause akan mudah dijangkiti kuman.

4. Kulit menjadi kering


Gejala menopause yang lain ialah apabila kekurangan hormon estrogen. Kekurangan hormon estrogen dalam badan kesan daripada menopause akan mengakibatkan kulit menjadi kering.  Apabila kulit mulai kering dan tidak lembap, kulit-kulit mula mengedut dan mengecut.

Bahagian-bahagian kulit yang mudah kelihatan berkedut adalah seperti di bahagian muka, tangan dan kaki.  Pengambilan air masak yang secukupnya dapat mengatasi masalah kekurangan air dalam badan yang juga penyebab kulit kering dan berkedut.

Belailah kulit anda dengan sapukan losyen badan supaya kulit tidak kering dan tidak berisiko untuk mendapat penyakit kulit yang lain pula.

5. Osteoporosis


Gejala menopause yang terakhir ialah mengalami osteoporosis. Osteoporosis atau tulang poros adalah satu masalah yang serius dalam menopause. Tulang biasanya akan dipecahkan dan diganti, tetapi dalam menopause, tulang yang dipecahkan adalah melebihi tulang yang dibina semula.

Oleh itu, tulang mudah patah terutamanya tulang pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang.  Wanita dengan kepadatan tulang yang tinggi mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengidap osteoporosis berbanding wanita dengan kepadatan tulang yang rendah. Estrogen mengawal tulang daripada kehilangan kalsium.

Seorang wanita boleh kehilangan 2-5 % kepadatan tulang dalam jangka masa 5 tahun semenjak bermulanya menopause. Osteoporosis tidak mempunyai simptom di awal penyakit. Cuma di peringkat akhir penyakit ia menyebabkan kesakitan tulang belakang dan abdomen.

Apakah rawatan atau bagaimana menangani menopause?


1. Senaman


Senaman ringan akan membantu seorang wanita dalam menghadapi putus haid ini dengan sihat. Selalunya masalah ini akan terjadi di usia tua.  Jadi, olahraga atau senaman ringan selama 30 minit sudah mencukupi untuk anda kekal sihat.

Selain itu anda juga perlu sabar dan tenang. Hal ini kerana ia  merupakan sebuah proses fisiologi maka penting untuk anda  menanamkan kesabaran dan ketenangan dalam menerima kenyataan terhadap perubahan yang terjadi dalam masa menopause ini kerana gejala putus haid ini pasti akan terjadi.

Hal ini memerlukan   sokongan daripada anggota keluarga yang lain dalam menghadapi sikap wanita yang menopause.

2. Pengambilan makanan yang sihat


Pengambilan makanan yang sihat juga membantu dalam menangani gejala menopause. Disarankan untuk mengambil makanan yang banyak mengandungi sumber bijiran, protein seperti gandum, tahu, dan tempe.

Perbanyakkan juga makanan yang mengandungi antioksida kerana antioksidan ini bermanfaat untuk menjaga sistem kekebalan tubuh dan juga bersifat mengusir racun dari dalam tubuh dan menunda tanda-tanda penuaan.

Wanita menopause juga dinasihatkan agar elakkan dari jenis minuman seperti kafein, kopi, alkohol, minuman bersoda, rempah-rempah dan makanan berlemak

Akhir kata


Walau apa pun penyebabnya, pengalaman-pengalaman seorang wanita sebelum dan selepas putus haid akan menjadi satu pengalaman yang pahit dalam hidupnya kerana kadang-kadang simptom-simptom yang hadir adalah agak serius.

Tetapi, ada juga wanita yang langsung tidak pernah mengalami apa-apa simptom semasa dia putus haid.  Bergantung kepada corak kehidupannya.  Bagi wanita yang telah bersedia dari segi fizikal dan mental mereka akan kuat untuk menerima sebarang bentuk masalah yang datang.

Apa pun, sokongan orang tersayang adalah lebih penting dan dapat mengatasi segalanya.