8 Cara Mengatasi Sifat Lupa



Cara Mengatasi Sifat Lupa. Cegah & Hilangkan Terus!


Ingat lagi semasa kita di bangku sekolah. Surah-surah lazim memang laju kita hafal. Senang cerita, Juzuk 30 keseluruhannya kita sudah mahir. Hukum-hukum tajwid sangat mudah kita hafal. Bandingkan dengan keadaan sekarang. Berapa banyak surah yang kita hafal?

Dikatakan, untuk menjadi seorang yang hafaz Al-Quran, masa yang diperuntukkan untuk menghafaz Al-Quran ialah sekurang-kurangnya 10,000 jam. Kalau kita kira, jika para tahfiz menghafaz Al-Quran selama 24 jam tanpa henti setiap hari, mereka akan dapat khatam dan hafaz keseluruhan Al-Quran dalam masa 1 tahun 4 bulan sahaja. Namun ia mustahil, kerana pelajar tahfiz perlu makan, tidur dan solat serta melakukan perkara-perkara lain.

Berdasarkan kiraan 10,000 jam tadi, jika mereka peruntukkan 8 jam sehari (lebih munasabah), ia lebih kurang 3 tahun 5 bulan. Bagaimana dengan kita yang begitu lokek memperuntukkan 1 jam sehari untuk membaca Al-Quran? Ya, membaca sahaja, bukan menghafaz! Semoga Allah beri kita kekuatan untuk terus-menerus membaca dan menghafaz Al-Quran.

Berbalik pada topik lupa tadi, untuk pengetahuan, lupa didefinisikan sebagai suatu keadaan di mana sesuatu maklumat yang diterima dan disimpan di dalam memori otak telah hilang.  Sementelahan itu, ibu yang pernah melahirkan anak sering dikaitkan dengan sifat lupa. Kata orang tua-tua, lebih kerap seseorang ibu melalui proses bersalin, lebih tinggi potensi untuk lupa kerana terdapat urat yang telah putus. Adakah benar tanggapan orang tua-tua ini? Wallahu aklam.

Penyakit lupa ini memang sering terjadi tidak kira peringkat umur. Sebenarnya, banyak faktor yang boleh menyebabkan kita lupa, bukan hanya wanita yang pernah bersalin sahaja. Orang lelaki, remaja, malah kanak-kanak juga boleh ada sifat lupa. Setiap sesuatu yang ada punca atau faktor, pasti akan ada jalan penyelesaian. Mari kita semak bagaimana untuk mengatasi sifat lupa.

1. Makan kismis


Siapa yang tidak tahu kebaikan kismis. Bukan sahaja di kalangan umat islam, penganut agama lain yang juga bukan islam turut bersetuju akan keberkesanan kismis dalam membantu daya ingatan. Bukan sahaja tidak akan lupa, malah seseorang yang mengamalkan makan kismis mampu menghafal dengan baik. Oleh sebab itu pengambilan kismis sangat digalakkan di kalangan anak-anak yang sedang dalam proses pembelajaran.

2. Makan kekacang


Seperti juga kismis, kekacang juga menjalankan peranan yang sama. Contoh kekacang yang baik untuk otak ialah kacang pistachio, kacang badam, kacang hazel, dan lain-lain. Tambah stok kekacang di dalam senarai barangan runcit bulanan. Jadikan ia sebagai snek harian dan jauhi makanan tidak berkhasiat dan berperwarna seperti asam, gula-gula dan makanan segera yang lain. Singgah ke mana-mana kedai yang jual makanan dari Timur Tengah yang bercambah bagai cendawan sekarang. Jika tiada, singgah ke mana-mana hypermarket seperti Giant.

3. Berzikir/berselawat


Dalam Islam, berzikir membawa maksud menyebut dan mengingati Allah. Berselawat pula ialah mengingati rasul junjungan Muhammad S.A.W. Melalui zikir dan selawat, otak dan hati akan berada dalam keadaan tenang. Pada masa bertenang, otak mempunyai banyak ruang untuk berfikir dan menempatkan memori dengan lebih lama.

4. Membaca Al-Quran


Sebagai umat Islam yang sentiasa berpegang kepada Al-Quran dan hadis, kita perlu melatih diri untuk bersahabat dengan al-quran. Jadikan Al-Quran sebagai teman kerana Al-Quran adalah sebuah buku yang lengkap untuk panduan hidup kita. Membaca Al-Quran akan menjadikan seseorang tenang di samping dapat berfikir dengan baik dan mengatasi sifat lupa.

5. Mengulang


Salah satu cara untuk mengelakkan diri daripada lupa ialah dengan teknik mengulang. Menurut kajian, sesuatu yang dilakukan secara berulang akan dapat disemat di dalam memori lebih lama. Sebagai contoh, jika ingin menghafal nombor telefon seseorang, sebut atau tulis berulangkali sehingga anda hafal. Teknik mengulang ini turut dipraktikkan di sekolah iaitu bermula dengan menulis abjad secara berulang-ulang agar pelajar dapat ingat, kenal dan tulis huruf dengan betul.

6. Membuat nota


Selain itu, sebagai langkah berjaga-jaga kepada si pelupa, satu buku nota atau aplikasi nota di telefon bimbit mungkin akan banyak membantu. Catatkan setiap perkara penting agar anda tidak lupa. Misalnya, anda boleh senaraikan barang keperluan sekolah anak-anak yang perlu dibeli. Selain untuk mengelakkan daripada lupa, membuat nota juga dapat menghindari diri dari berbelanja membuta tuli. Ketiadaan senarai akan memungkinkan anda membeli barang yang tidak diperlukan.

7. Set ‘reminder’


Satu lagi aplikasi telefon bimbit yang patut digunapakai ialah ‘reminder’. Aplikasi ini amat sesuai digunakan untuk mengingati tarikh atau masa tertentu. Contohnya dengan memasang penggera ‘reminder’ untuk mengingati tarikh lahir insan istimewa, tarikh mesyuarat penting di luar pejabat, dan sebagainya. ‘reminder’ juga biasa digunakan untuk tujuan mengingati waktu agar tidak terlewat ke destinasi penting.

8. Merancang


Sebagai ibu pasti akan ada banyak perkara yang perlu difikirkan. Banyak yang harus diuruskan terutamanya hal ehwal rumahtangga. Tidak terkecuali hal-hal di pejabat, hal keluarga di kampung, keluarga mertua, dan banyak lagi. Terlalu banyak berfikir tanpa had akan menyebabkan terjadinya sifat lupa. Ibu perlu ada perancangan dalam kehidupan agar urusan lebih teratur dah minda tidak terganggu. Dahulukan urusan yang paling penting diikuti dengan yang lain.

Kesimpulannya, lupa sebenarnya bukanlah sejenis penyakit. Ia merupakan sifat negatif yang boleh diatasi dan dielakkan. Dengan tersenarainya 8 perkara di atas, diharap dapat membantu para ibu terutamanya, untuk menghindarkan diri dari sifat lupa yang mengganggu ini. Penjagaan pemakanan adalah sangat penting. Tidak lupa juga dengan aktiviti seharian yang mempengaruhi sifat lupa. Sekiranya anda sedar anda seorang pelupa, segeralah mencari jalan untuk mengatasinya agar tidak melarat.

Semoga bermanfaat!