3 Kaedah Mencegah Kehamilan Tanpa Pil Perancang

Kaedah Mencegah Kehamilan Tanpa Pil Perancang. Mudah & Murah!


Walaupun tindakan memakan pil perancang keluarga nampak seperti kaedah yang paling mudah dan murah, namun, ada yang rasa terbeban kerana terpaksa mengingat jadual memakan pil setiap hari. Seperti yang pernah dikongsikan dalam artikel yang lalu tentang pil perancang, ada juga yang tidak selesa dengan kesan sampingannya.

Jadi, apakah pilihan lain untuk wanita menjarakkan kehamilan atau mencegah kehamilan? Di Malaysia, terdapat 3 pilihan perancang keluarga yang biasa dipraktikkan di klinik-klinik selain pil perancang.


IUD, Suntikan, Implan – Apa Bezanya Ketiga-tiga Perancang Keluarga Ini?


Berbeza dengan pil perancang, ketiga-tiga prosedur perancang keluarga ini perlu dijalankan di klinik kerajaan mahupun pusat rawatan swasta yang berdaftar.

Kaedah ini amat sesuai untuk wanita yang menyusukan bayi kerana ia disahkan tidak mempunyai kesan sampingan terhadap penghasilan susu badan. Ketiga-tiga kaedah ini juga dapat bertahan dalam badan dalam tempoh yang agak panjang, maka tiada masalah jika anda jenis pelupa dan tidak suka makan ubat!

1. SUNTIKAN PERANCANG


Sesetengah klinik akan menamakan suntikan ini sebagai suntikan depo, iaitu merujuk kepada nama ubat yang digunakan.

Prosedur:


Suntikan ini diberikan selepas hari ke-5 haid. Pentingnya perancang keluarga dibuat pada masa ini adalah supaya dapat memastikan wanita tidak hamil ketika mendapat suntikan.

Suntikan akan diberikan pada bahagian punggung atau lengan. Suntikan seperti biasa. Ia berfungsi menambah kepekatan lendir pada serviks yang menghalang sperma daripada menembusinya.

Kelebihan:


  •     Sesuai bagi wanita menyusukan bayi kerana tidak mengeringkan susu.
  •     Tidak mengganggu hubungan kelamin antara pasangan.
  •     Mencegah pertubuhan fibroid pada rahim.

Kekurangan:


  •     Mungkin lambat untuk kembali subur selepas berhenti mengambil suntikan.
  •     Tempoh keberkesanan yang singkat berbanding IUD dan Implan.
  •     Tidak boleh dikeluarkan semula dari badan jika tidak mahu meneruskannya dalam masa 3 bulan (tidak seperti IUD dan Implan yang mempunyai prosedur untuk dikeluarkan pada bila-bila masa)

Tempoh Keberkesanan:


3 bulan

*Harga:


RM 18 – RM 36 (bergantung pada jenis ubat)


2. IUD / IUCD


IUD bermaksud ‘Intra Uterine Device’, atau juga digelar ‘Intra Uterine Contraceptive Device’ (IUCD). Alat yang diperbuat daripada plastik dan berbentuk T akan dimasukkan ke dalam rahim wanita. (Ramai yang menganggap proses ini mengerikan, namun sebenarnya ia hanya sekecil 3cm dan tidak menyakitkan!)

Prosedur:


Semasa berbaring, doktor akan menggunakan alat untuk buka bahagian rahim. Dinding rahim juga akan dibersihkan terlebih dahulu dengan kain swab. Kemudian, alat ini akan dipasang.

Proses hanya akan mengambil masa lebih kurang 10-15 minit. Selepas proses itu anda mungkin akan rasa ngilu sedikit pada bahagian ari-ari dalam masa 5 minit.

Untuk memastikan IUD berada dalam kedudukan yang betul, terdapat benang terkeluar yang perlu dirasa.

Alat ini seeloknya diapakai ketika haid kerana serviks berkeadaan lembut. Anda boleh mengeluarkan IUD ini daripada rahim apabila anda bersedia untuk hamil kembali.

Kelebihan:


  •     Kesan sampingan selalunya sangat minimal berbanding dengan teknik perancang keluarga lain.
  •     Mengembalikan kesuburan dengan cepat, hampir serta-merta setelah ianya dikeluarkan.
  •     Tidak mengganggu penghasilan susu ibu.
  •     Boleh mencegah kehamilan luar rahim.

Kekurangan:


  •     Mempunyai risiko jangkitan sekiranya tidak dipasang oleh mereka yang berkemahiran.
  •     Perlu selalu memeriksa benang halus pada bukaan vagina untuk memastikan kedudukannya betul.
  •     Kedudukannya yang terletak di dalam rahim mungkin menyebabkan sesetengah pasangan berasa takut-takut atau tidak selesa untuk ‘bersama’. Tapi ini hanyalah mentaliti. Ramai wanita yang dapat menghilangkan perasaan ini selepas memakainya buat beberapa ketika.

Tempoh keberkesanan:


Biasanya antara 3-5 tahun (bergantung pada komposisi dalam IUD)

*Harga:


Alat IUD dalam rahim termasuk caj pemasangan (3 tahun) – RM 80

Ada Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (kerajaan) yang memberi alat ini secara percuma (cuma perlu bayar untuk kos pemasangan di klinik)

Prosedur Pengeluaran – RM20


3. IMPLAN


Secara fizikalnya, implan atau implanon adalah sejenis rod sebesar batang mancis yang dimasukkan di bawah kulit lengan atas. Sejenis hormon progestogen iaitu etonogesterol akan dihasilkan pada kadar yang sama setiap hari untuk mencegah kehamilan.

Prosedur:


Kedua-dua prosedur iaitu pemakaian dan pembuangan implanon boleh dibuat di klinik, memerlukan hanya bius setempat dan prosedur kedua-duanya tidak melebihi 5 minit.

Untuk memasang, caranya nampak lebih mudah daripada mengeluarkannya. Ini kerana, pemasangan adalah seperti melalui proses suntikan.

Manakala,untuk mengeluarkannya, doktor akan menyuntikkan bius dan melakukan pembedahan (torehan) kecil pada lengan anda,

Selepas sahaja implanon dikeluarkan, pengeluaran telur akan kembali  normal dalam tempoh lebih kurang seminggu.

Kelebihan:


  •     Tidak mengganggu hubungan kelamin kerana dipasang jauh daripada vagina atau rahim.
  •     Tidak memberi kesan kepada penyusuan bayi.

Kekurangan:


  •     Harga yang mahal berbanding IUD dan suntikan perancang.
  •     Bahagian lengan berisiko lebam semasa dipasang.

Tempoh Keberkesanan:


3-5 tahun

*Harga:


Implan termasuk pemasangan (3tahun)- RM500

Prosedur Pengeluaran – RM100

*Harga tertera merujuk kepada harga di Klinik LPPKN (kerajaan). Tidak tertakluk kepada klinik swasta.

Kesan Sampingan Tetap Ada


Seperti kesemua jenis perancang keluarga, setiapnya mempunyai sedikit kesan sampingan pada awal pemakaiannya. Ini kerana semua perancang keluarga jenis luaran akan melibatkan perubahan hormon dalam badan, walaupun sedikit. Simptom seperti pening, loya, kenaikan berat badan, jerawat, sakit payudara, senggugut, ‘mood swing’, dan sebagainya adalah antara yang boleh dijangkakan.

Namun, jika badan anda serasi dengan perancang keluarga yang dipakai, rasa sakit ini sepatutnya berkurangan dan seterusnya menghilang.

Jika Perlu, Dapatkan Khidmat Nasihat Pakar


Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat menyediakan khidmat nasihat di samping menawarkan prosedur perancang keluarga untuk lelaki dan wanita.

Untuk mengunjunginya, rujuk maklumat berikut untuk senarai klinik LPPKN berdekatan anda.

*Nota:

Merancang keluarga dengan niat menjarakkan atau menangguhkan kehamilan adalah dibenarkan dalam Islam asalkan mendapat keizinan suami.

Walaubagaimanapun, ia mestilah dilakukan tanpa membawa sebarang kemudaratan dengan kaedah yang dilulus Syarak, dan tidak pula melakukan apa-apa yang merencat kehamilan semasa jika ada.

‘Kemandulan tetap’ seperti histerektomi (buang rahim) dan vasektomi (buang testis) adalah haram kecuali dengan alasan yang kukuh seperti masalah kesihatan yang serius.