5 Cara Mudah Untuk Masukkan Benang Ke Dalam Jarum

5 Cara Mudah Untuk Masukkan Benang Ke Dalam Jarum


Bukan mudah nak masukkan benang ke dalam jarum. Lebih-lebih lagi lubang jarum yang halus. Boleh juling biji mata….

Bila sudah masuk, benang yang lembik pula asyik nak terkeluar. Memang menguji kesabaran betul!

Sebenarnya ada teknik untuk selesaikan masalah ini. Tak percaya?


Cara Mudah Masukkan Benang Ke Dalam Jarum


1. Guna Lilin


Ambil hujung benang dan gosok pada batang lilin beberapa minit. Lurut perlahan-lahan sehingga benang jadi keras.

Apabila benang sedikit keras, cuba masukkan dalam lubang jarum.

2. Gunting 45 Darjah


Gunting benang pada sudut 45 darjah dengan gunting yang betul-betul tajam. Masukkan bahagian yang paling runcing dalam jarum.

Lagi runcing, lagi senanglah dimasukkan ke dalam lubang jarum yang halus tu.

3. Benang Dipotong Rapi


Pastikan potong hujung benang serapi mungkin agar tiada serabut atau cabang di hujungnya.

Nanti makin susah pula nak fokus pada lubang jarum. Apabila sudah masuk, kadang-kadang bersimpul pula kalau benang itu bercabang. Kena pula buat semula!

4. Hujung Benang Lembap


Basahkan hujung benang. Struktur benang yang lembap akan menjadi lebih padat dan tidak berserabut pada hujungnya. Lebih mudah untuk dimasukkan sebab hujung benang lebih berat dan stabil.

Kadang-kadang kita selalu tengok sesetengah orang hisap sedikit hujung benang, bukan? Haaa… Inilah sebabnya.

Namun ada masanya ia kurang efektif, bergantung pada material benang yang digunakan.

5. Guna Alat Khas


Paling mudah, beli alat untuk masukkan benang ke dalam lubang jarum yang dipanggil ‘threader’.

Alat ini mempunyai hujung kawat yang sangat halus dan mampu memasukkan benang ke dalam lubang jarum.

Boleh cari di kedai jahitan. Selalunya, kalau beli mesin jahit besar atau mini memang ada sekali dengan alat ini.

Jom Mula Menjahit!


Bolehlah anda mula menjahit sekarang. Tiada lagi masalah nak masukkan benang ke dalam jarum.

Bukan penjahit mahir saja boleh manfaatkan teknik ini, kita yang jahit setahun sekali untuk pun bolehlah cuba. Yalah, setakat tampal seluar koyak, jahit butang tercabut, takkan nak hantar kedai…

Jimat masa, mudah, dan tak perlulah nak panggil sesiapa tolong lagi.

Selamat mencuba!