5 Do’s & Don’ts Untuk Kurangkan Sakit Lutut

5 Do’s & Don’ts Untuk Kurangkan Sakit Lutut, Kembali Aktif!


Kurangkan Sakit Lutut

Sakit lutut biasanya disebabkan faktor umur, masalah otot dan tisu, kecederaan, radang, masalah kesihatan, arthritis dan berat badan berlebihan. Ia boleh terjadi pada semua orang tidak kira peringkat umur, namun kaum hawa lebih banyak menghadapi masalah ini.

Walaupun ia biasa terjadi kepada orang tua, namun kini orang muda seawal 30-an pun sudah ada yang menderita. Ia akan menyukarkan kita berjalan dan sekaligus melumpuhkan pergerakan kita serta menghalang kita daripada melakukan kerja-kerja harian.

Jadi, apa yang boleh dilakukan untuk kurangkan sakit lutut ini?


Untuk Kurangkan Sakit Lutut Anda,


A) Lakukan 5 Perkara Ini:


1. Buat senaman kardio


Senaman seperti berjalan, berenang dan aerobik air menguatkan otot-otot sekitar lutut dan meningkatkan fleksibiliti.

Stretching dan Tai Chi juga dapat membantu kurangkan sakit lutut dalam jangka masa panjang.

2. Balut lutut


Balut lutut dengan bandage yang sesuai. Ia dapat mengurangkan sakit pada otot dan tisu sekitar lutut.

Anda juga boleh mendapatkannya pembalut lutut jenis sarung di farmasi. Jenis ini adalah yang lebih mudah dipakai.

3. Tuam ais


Jika lutut bengkak, letak ais dalam tuala dan letak pada lutut untuk kurangkan bengkak dan sakit.

Tuamkan buat beberapa ketika dan anda akan merasa hasilnya sejurus selepas itu.

4. Jaga berat


Badan yang berat boleh memberi tekanan pada otot lutut.

Sebaiknya, kurangkan sedikit berat badan dengan diet yang sihat agar lutut boleh menampung berat badan.

5. Guna alat bantuan


Jika sukar berjalan, guna alat bantuan seperti tongkat untuk mudahkan pergerakan. Terutamanya apabila anda berhasrat untuk berjalan jauh seperti membeli-belah di pasaraya atau mengikuti rombongan beramai-ramai.

B) Elakkan 5 Perkara Ini:


1. Duduk lama


Memang sakit lutut kalau kita banyak berjalan.

Tetapi, sebenarnya duduk terlalu lama boleh melemahkan otot terutamanya otot lutut. Sesekali bangun dan berjalan.

2. Terjatuh


Lutut sakit menyebabkan cara anda berjalan tidak berapa stabil, dan secara tak langsung berpotensi untuk jatuh. Pegang susur tangga dengan kuat jika naik tangga.

3. Senaman berimpak tinggi


Bersenam memang digalakkan tapi jangan lakukan senaman seperti melompat, berlari dan mencangkung kerana ia menambah lagi kesakitan pada otot lutut.

Lakukan senaman yang mudah dan perlahan.

4. Pakai kasut yang tidak sesuai


Elak pakai kasut yang boleh memberi tekanan pada kaki. Maka, janganlah pilih kasut yang cantik dari luaran saja tanpa memberi perhatian kepada bahagian tapaknya.

Jika masih tidak selesa, letak cushion insoles dalam kasut untuk mengurangkan stress pada lutut sewaktu berjalan. Aksesori ini boleh dibeli di kedai kasut atau kedai peralatan aksesori.

5. Melutut dalam tempoh lama


Melutut terlalu lama boleh menyebabkan kecederaan pada tisu otot. Jadi, lakukan kerja dengan selesa secara duduk atau berdiri dengan berselang-seli.

Jangan biarkan sakit lutut berpanjangan,


Memang tak boleh nak ke mana-mana kalau sudah sakit lutut kerana ia menghadkan pergerakan. Jalan pun tidak stabil dan tidak selesa kerana menahan sakit.

Jadi, rujuk pada doktor agar yang sakit dapat disembuhkan.