6 Tips Ajar Anak Duduk Dalam Car Seat

6 Tips Ajar Anak Duduk Dalam Car Seat, Agar Selamat Perjalanan!


Ajar Anak Duduk Dalam Car Seat

Kita sering mendengar terjadinya kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian di kalangan bayi dan kanak-kanak. Amat menyedihkan apabila mendengar dan melihat bayi dan kanak-kanak ini meninggal dunia kerana mereka tidak dilengkapi dengan alatan keselamatan seperti carseat atau booster. Biasanya bayi akan dipegang ibu yang duduk di hadapan dan apabila berlakunya kemalangan, bayi akan tersepit di papan pemuka. Seriau bila tengok ada ibu-bapa yang pangku anak sambil biarkan anak pegang stereng kenderaan!

Tahukah anda, di United Kingdom, seseorang itu boleh dikenakan tindakan undang-undang jika memangku anak dalam kereta?

Masih cetek pengetahuan serta ilmu rakyat Malaysia berkenaan kepentingan carseat untuk bayi. Ramai juga yang beralasan bahawa bayi mereka tidak mahu duduk di dalam carseat atau harga carseat yang tinggi di pasaran. Berkenaan harga carseat yang mahal, saya yakin masih ada carseat yang berkualiti dan mampu milik untuk semua. Demi keselamatan anak, saya yakin ibu bapa akan cuba untuk mendapatkannya.

Apa yang penting, di sini saya kongsikan bagaimana mendidik dan ajar anak duduk di dalam car seat.


1. Bersedia awal


Lahir sahaja anak ke dunia, dan apabila sudah dibenarkan pulang dari hospital, pastikan kereta sudah lengkap dengan carseat. Bayi mesti diletakkan di dalam carseat buat pertama kalinya dia pulang ke rumah. Inilah titik mula mendidik anak untuk duduk di dalam carseat. Namun, jika bayi sudah besar, masih belum terlewat untuk anda melatihnya duduk di dalam carseat walaupun ia mungkin memakan masa. Bak kata pepatah Inggeris, ‘Better late than never’.

2. Cari carseat yang sesuai


Carilah carseat yang sesuai dengan bayi anda. Untuk newborn, car seat yang sesuai adalah jenis carrier dan kanak-kanak yang lebih besar dipanggil booster. Maaf, tiada tips untuk membeli car seat dalam artikel ini. Mungkin lain kali. Namun harus diingat, bukan jenama atau harga yang memainkan peranan penting. Keselamatan anak itu yang paling utama.

Biarlah tidak guna carseat jenama Sparco, Graco, Britax, Aldo dan lain-lain, asalkan anak kita selamat, dan harganya murah juga berpatutan. Pastikan berbaloi.

3. Pastikan cara yang betul


Pastikan cara yang betul ketika memasang car seat. Baca manual betul-betul, jangan hentam keromo sahaja. Untuk bayi yang kurang daripada umur setahun, kedudukan car seat mestilah ‘rear-facing’. Apabila sudah berumur lebih setahun, kedudukan car seat adalah ‘forward-facing’. Ketahui istilah-istilah ini untuk kebaikan anak-anak kita.

4. Pastikan anak kenyang


Sebelum letakkan anak di dalam car seat, susukannya dahulu. Kalau tidak, dia akan mengganggu kita sepanjang perjalanan. Ini jadi lebih bahaya, lebih-lebih lagi jika memandu bersendirian.

5. Pastikan lampin kering


Sebelum memulakan perjalanan, pastikan lampin anak kering. Jika penuh, anak tidak akan selesa dan memungkinkan dia tidak mahu duduk di car seat.

6. Mainan yang bersesuaian


Anda mungkin mahu meletakkan beberapa permainan untuk digantung di car seat anak agar dia dapat duduk diam di dalam car seat.