7 Cara Mengatasi Rasa Nak Pitam

7 Cara Mengatasi Rasa Nak Pitam. Ibu Hamil, Sila Baca!


Cara Mengatasi Rasa Nak Pitam

Setiap orang pasti pernah merasa pening, tetapi ada sebahagiannya yang turut loya, sesak nafas, mual, sehingga rasa pitam. Bukan kita pinta jika tiba-tiba terjadi perkara sebegini. Jadi, kita perlu lengkapkan pengetahuan dengan langkah yang dapat menyelamatkan keadaan.


Kenapa Tiba-tiba Kita Rasa Pitam?


Pitam sebenarnya berpunca daripada kurangnya darah di bahagian otak. Apabila otak kekurangan darah, ia bertindak memfokuskan kepada bahagian kawalan penting seperti pernafasan. Maka, badan kita akan serta-merta menjadi lemah dan terkulai jatuh.  Sebab itulah, dalam keadaan pitam kita biasanya masih boleh mendengar percakapan orang disekeliling tetapi tidak dapat memberi respon kerana terlalu lemah.

Pengsan pula berbeza sedikit, di mana ia berlaku dalam keadaan kita tidak sedar. Biasanya pengsan juga bermula daripada keadaan pitam tadi dan dibiarkan hingga kita mula jatuh dan tidak sedarkan diri.

Oleh itu, jika mula rasa pitam seperti di awang-awangan, pening kepala atau pandangan terasa kabur segeralah lakukan 7 perkara di bawah.

Segera Lakukan 7 Perkara Ini Apabila Anda Mula Rasa Pitam


1. Makan makanan bergaram dan bergula


Pitam terjadi apabila badan kekurangan garam untuk kekal hidrat dan otak kekurangan gula untuk berfungsi. Jadi anda perlu stabilkan jumlah gula dan garam dengan makan biskut dan minum jus.

Setelah beberapa ketika, anda akan berasa lebih lega.

2. Sejukkan badan


Pitam juga boleh berlaku jika suhu badan terlalu panas misalnya seperti berada di tempat yang terlalu panas atau terlalu ramai orang. Jadi sejukkan badan dengan pergi ke tempat yang kurang orang atau basuh muka dan basahkan badan dengan air sejuk.

Tidak hairanlah orang selalu rasa pitam semasa hari sukan atau dalam acara berkawad.

3. Minum air dengan banyak


Kurang air dalam badan juga antara penyebab mudah pitam kerana badan mengalami dehidrasi. Jadi, minum air dengan banyak terutamanya jika cuaca panas.

Bawa bekalan yang cukup untuk memastikan anda minum kuantiti air secukupnya.

4. Baring sebentar


Rehatkan diri dengan baring sekurang-kurangnya 15 minit dan apabila terasa lega, bangun perlahan-lahan.

Jika ingin bergerak, mulakan langkah dengan perlahan-lahan dan berhati-hati.

5. Tarik nafas perlahan-lahan


Bila panik, memang mudah pitam. Jadi apabila terasa hampir pitam, tarik nafas perlahan-lahan dan dalam-dalam sehingga hilang rasa panik serta pitam.

6. Elak memandang benda yang boleh menyebabkan panik


Ada orang yang takut melihat darah dan apabila terpandang, menyebabkan dia panik dan terasa hendak pitam. Ada juga yang takut kucing hingga menggigil.

Jadi, elak pandang objek yang boleh membuat anda panik sekali gus boleh menyebabkan pitam.

7. Tukar ubat yang diguna


Jika anda bergantung pada ubat, mungkin anda alah pada ubat yang dimakan. Segera rujuk pada doktor jika ubat yang dimakan membuatkan anda pening dan pitam.

Walaupun Rasa Pitam Boleh Dihilangkan, Ia Masih Berisiko


Dengan langkah di atas, anda mampu melakukan sesuatu untuk mengelakkan rasa pitam, sekaligus mengelakkan diri daripada pengsan. Bukan itu saja, anda juga dapat melakukan sesuatu kepada teman atau sesiapa yang mengalami rasa pitam ini.

Walaupun pitam tidak merbahaya, tapi ia mampu mengancam nyawa sekiranya berlaku di persekitaran yang tidak sesuai seperti di atas jalan raya dan di kawasan tinggi. Ini kerana risiko kemalangan amat besar sehingga boleh menyebabkan kematian.