7 Tips Bayi Tidur Lena

7 Tips Bayi Tidur Lena. Agar Nyenyak Siang atau Malam!


Tips Bayi Tidur Lena

Menidurkan bayi boleh jadi saat-saat yang paling membahagiakan. Namun ia juga boleh menjadi saat yang mengerikan bila mana anda mahu dia tidur, tetapi dia tidur hanya sebentar sahaja dan tidak lena. Pernah juga berlaku bila mana anda sudah tidurkan bayi, dan anda mahu bangun melakukan kerja, bayi pantas sahaja bangun semula seakan mengetahui anda tidak ada di sisi. Letih rasanya mahu tidurkannya semula!

Menurut Kementerian Kesihatan, pada keseluruhannya, bayi akan lebih tidur pada waktu siang dan malam hari, dia hanya akan terjaga apabila tiba waktu makan. Bayi yang baru lahir tidak dapat membezakan siang atau malam dan boleh tidur dalam purata 16 jam sehari, 2 hingga 4 jam terus-menerus di antara waktu makan.


Cadangan tempat tidur bayi dari Kementerian Kesihatan


  •     Tidurkan bayi secara terlentang di atas tilam yang padat dan kemas di katil bayi mengikut tahap keselamatan terkini.
  •     Jangan menggunakan bantal, pelapik tilam, selimut, permainan yang ada bahagian-bahagian kecil dan penghadang katil yang tidak selamat.
  •     Jika menggunakan selimut, posisikan kaki bayi di penghujung palang katil.
  •     Selimutkan bayi dengan selimut yang nipis ke paras dadanya.
  •     Pastikan kepala bayi tidak tertutup dengan selimut apabila tidur.
  •     Jangan tidurkan bayi atas tilam air, sofa, tilam yang lembut, bantal atau di permukaan yang lembut.
  •     Pastikan bayi memakai pakaian yang nipis semasa tidur dengan suhu bilik yang sesuai.
  •     Elakkan menyelimut bayi secara berlebihan dan pastikan suhu badan bayi tidak panas.
  •     Bayi sepatutnya tidur terlentang. Bayi boleh di tiarapkan ketika jaga untuk perkembangan otot, mata dan bagi mengelakkan belakang kepala bayi menjadi leper.

Melalui pengalaman yang dilalui penulis sendiri, berikut dikongsikan tips menidurkan bayi agar dia mendapat tidur yang lebih baik dan berkualiti.

1. Susukan bayi dengan tenang


Ini tips bayi tidur lena yang paling penting. Ketika bayi sudah menunjukkan tanda mahu tidur, suakan dia susu badan dan susukannya dengan tenang. Jika kita beria mahu tidurkannya dalam keadaan kelam kabut, dia mungkin tidak akan tidur atau tidur sebentar sahaja. Sambil menyusukan bayi, tepuklah dia dengan perlahan atau peluk dia erat. Waktu inilah anda mengeratkan ikatan (bonding) dengan bayi anda. Dia akan rasa selesa, dapat menyusu dengan tenang dan akhirnya tidur dengan lena.

2. Sendawakan bayi


Pernahkan anda mengalami tika mana anak hanya tidur sebentar dan terbangun kemudian dia sendawa? Kadangkala sendawa beserta muntah susu. Dia mungkin tidak disendawakan selepas menyusu. Bayi tidak tahu sendawa sendiri. Pergerakannya yang terbatas, iaitu hanya baring dan mungkin duduk dengan bantuan, tidak memungkinkan bayi sendawa dengan sendiri. Dia memerlukan bantuan untuk sendawa. Jika tidak, tidurnya pasti tidak lena.

3. Tepuk lembut atau dodoikan


Apabila bayi sudah lena, jangan terus tinggalkannya. Letakkan bayi di tempat tidurnya dan tepuk perlahan atau dodikannya supaya dia tidak terkejut kerana ditinggalkan.

4. Bedung bayi


Salah satu sebab bayi tidur sekejap sahaja mungkin kerana dia mudah terkejut dan tidurnya terganggu. Bedunglah bayi anda supaya dia mendapat tidur yang berkualiti. Jika membedung bayi, elakkan memakaikan baju yang tebal. Cukuplak sekadar baju nipis dan member keselsaan kepada bayi. Bayi yang dibedung biasanya akan tidur lebih lama dari bayi yang tidak dibedung.

5. Suasana tenang dan cahaya yang minima


Pastikan tempat tidur anak tidak terlalu bising untuknya. Ketika waktu malam pula, pastinya cahaya lampu yang malap sahaja supaya anak boleh tidur dengan lebih lena.

6. Tidak terlalu panas atau terlalu sejuk


Pastikan suhu ketika anak tidur tidak terlalu panas atau sejuk. Pastikan juga pakaian yang dipakai oleh bayi adalah baju yang sesuai.

7. Bezakan tempat tidur siang dan malam


Ini tips bayi tidur lena yang terakhir. Membezakan tempat tidur siang dan malam amat penting kerana biasanya anak akan mendapat tidur yang lebih lena pada waktu malam. Jika tempat tidurnya sama, maka anak tidak dapat membezakannya. Bertukar tempat tidur pada malam hari akan memberi isyarat bahawa waktu sudah bertukar.

Semoga tips bayi tidur lena ini dapat membantu ibu. Tidur yang mencukupi dan berkualiti amat penting untuk tumbesaran bayi. Jika tidurnya terganggu anak tidak dapat membesar dengan baik. Selamat mengasuh!