7 Tips Menahan Marah Bila Anak Buat Hal

Tips Menahan Marah Bila Anak Buat Hal. Kawal & Atasi!


Bila anak tumpahkan air, kita marah anak. Bila baju kotor terkena makanan, kita marah dia juga. Lebih-lebih lagi bila anak pecahkan pinggan atau gelas kaca. Kita marah kerana kita perlu kemaskan kekotoran itu. Sedar atau tidak bahawa itu tindakan refleks? Tanpa fikir, suara terus jadi tinggi, muka jadi merah dan tangan mula hinggap di tubuh badan anak.

Benar, bukan mudah untuk menahan marah. Dengan pelbagai kerenah dan ragam anak – yang menangis, yang mengamuk, yang tidak mendengar kata, yang mengusik adik, yang berebut dengan adik – ia bisa mencabar iman dan emosi kita.

Petua dan tips menahan marah ini, semua orang tahu. Cuma bila mahu aplikasikannya ketika kita sedang marah, kadang-kadang kita sendiri lupa. Bayangkan perkara di atas berlaku, mampukah kita menahan amarah kita? In Shaa Allah, dengan latihan mengawal emosi, Allah permudahkan. Sama-sama kita belajar dan atasi sifat buruk ini.

Ada beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk mengawal emosi dan rasa marah. Seterusnya dapat mengawal stress:


1. Tarik Nafas


Tarik nafas dalam-dalam. Diam sebentar. Fikir sebentar. Lihat dan pandang wajah anak dengan penuh kasih sayang. Nescaya, kita tidak sampai hati mahu menghamburkan kata-kata tidak elok pada anak.

2. Lari Dari Anak


Cari ruang untuk bersendirian. Jauh dari anak-anak dan orang lain. Sebentar sahaja dalam 5 minit. Sebenarnya, 5 minit itu juga sudah terlalu lama. Tidak sampai 1 minit, anak sudah mula mencari ibu semula.

3. Ingat Allah


Ambil wudhuk. Baca Al-Fatihah, Ayatul Qursi, 3 Qul dan surah Taha ayat 1-5. Niatkan semoga Allah lembutkan hati kita dan anak-anak.

4. Alih Perhatian


Buat sesuatu yang dapat melupakan sebentar permasalahan kita seperti menulis, mencabut rumput di halaman rumah atas basuh pinggan mangkuk di dapur. Lama-lama, kita akan lupa.

5. Peluk Anak


Alternatif dari lari dari anak, boleh peluk anak erat-erat. Kembali mendapatkan anak yang sedang menangis itu. Pandang wajahnya. Bercakap dengannya.

6. Ingat Saat Melahirkan Anak


Ingat lagi masa dulu, kita terlalu mahukan anak? Ingat kembali saat sakitnya bersalin. Mengapa mesti kita tidak melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Sedih bila dengar ada pasangan yang masih tidak ada anak, setelah bertahun-tahun berkahwin. Kita yang ada anak, asyik mahu marah sahaja.

7. Dengar Penjelasan Anak


Sabarkan diri. Beri peluang pada anak menjelaskan kenapa dia berbuat begitu. Selidik betul-betul. Setelah tenang semuanya. Cari punca. Selesaikan dengan tenang.

Cuba cara mendidik anak yang baik, pintar dan cemerlang berserta bukti saintifik. Pokok pangkalnya, kena sentiasa sabar. Baca ayat, doa dan zikir yang dapat menenangkan diri. Semoga Allah sentiasa memberikan petunjuk-Nya.