7 Tips Mendidik Anak Sampai Jadi BFF

Tips Mendidik Anak


Pengalaman membesarkan anak-anak sangat indah jika bersulamkan kasih sayang dan tiada sifat benci membenci. Budaya berkasih sayang yang dipupuk sejak anak lahir mampu mendidiknya menjadi seorang yang menyayangi keluarganya.

Bayi yang baru lahir adalah ibarat kain putih yang bersih, kita yang bertanggungjawab mencorakkannya sama ada ingin mengotori atau kekal putih bersih. Anak haruslah kita jadikan sebagai kawan, bukannya lawan.

Bukan suami sahaja boleh jadi BFF, anak pun boleh jadi BFF kita.

Mari ikuti langkah di bawah untuk mencuri hati anak anda.


1. Luangkan masa berbual


Sebagai ibu bapa, anda haruslah meluangkan masa untuk berbual dengan anak anda. Tanyakan kepadanya tentang aktiviti yang di lakukan pada hari itu. Jika dia ada masalah, cuba berikan kata-kata semangat kepadanya supaya dia kuat untuk menghadapi sebarang masalah yang datang. Jangan sesekali anda mengeluarkan kata-kata kesat ketika berbual. Gunakan kata-kata yang baik supaya dia rasa rapat dengan anda. Jika dia sedang bersedih, hilangkan kesedihannya dengan berbual sambil makan aiskrim. Pasti dia akan sedikit ceria.

2. Selalu puji anak


Anak anda akan merasakan dirinya dihargai kerana kata-kata pujian yang anda berikan kepadanya. Jika dia berjaya dalam pelajaran, berikan dia pujian yang baik dan berikan lagi dia semangat untuk terus berjaya dalam kehidupannya. Kata-kata pujian yang baik perlu kerap kali diberikan kepada anak-anak sebagai penyuntik semangatnya. Jangan sesekali anda memarahinya atau mengherdiknya, walau pun keputusan dia kurang cemerlang, anda sebagai ibu bapa tetap memberi pujian kepadanya. Berikan nasihat yang sewajarnya supaya dia perbaiki kelemahan. Boleh juga memberi ganjaran seperti hadiah kepadanya.

3. Kenali kawan-kawan anak kita


Jika anda ingin diri anda sebagai kawan anak anda, anda perlulah mengenali kawan-kawannya. Sesekali luangkan masa untuk anda berjumpa dan bersiar-siar bersama kawan-kawannya. Sambil anda bersiar-siar, anda juga boleh perhatikan sikap kawan-kawannya. Jadi, jika anda tahu dengan siapa dia berkawan, anda tidak perlu risau. Anak anda akan rasa bangga dan bahagia jika anda boleh terima kawan-kawannya. Jangan sesekali menghina rakan-rakannya kerana latar belakang yang berbeza. Tindakan ini akan menyebabkan anak anda rasa malu dan mula membenci anda.

4. Percaya pada anak


Anak yang matang dan mampu berdikari adalah susulan tingkah laku ibu bapa yang memberi kepercayaan kepada mereka. Jika anak anda meminta izin untuk sesuatu perkara yang mendatangkan kerisauan dalam diri anda, berikan kepercayaan kepadanya. Walau pun berat untuk anda lepaskan, anda kena percaya kepadanya. Jika anda sukar untuk lepaskan dia membuat sesuatu perkara dan terlalu mengongkongnya kerana risau dan tidak percaya, anak anda tidak akan pandai berdikari dan tidak matang. Kesannnya, jika dia mengalami masalah kelak, dia tidak mampu atasinya.

5. Beritahu anak, agama itu yang nombor 1


Agama Islam menuntut umatnya supaya mengamalkan perkara-perkara baik dalam kehidupan. Begitu juga dalam mendidik anak-anak. Anak yang diasuh dengan didikan agama yang sewajarnya, dapat melahirkan anak yang soleh dan solehah. Dari kecil, kita perlu mendedahkan kepadanya dengan ilmu-ilmu agama seperti mengaji, solat, berpuasa, menutup aurat, menghormati orang tua dan melakukan perkara-perkara sunat.

Jika didikan ini sejak awal telah diberikan, anak-anak akan biasa lakukan dan tidak kekok. Jika dia mengingkarinya, anda perlu menasihati secara berkhemah, bukan dengan memukul atau memarahinya. Tindakan yang kasar tidak akan melembutkan hati anak, malah akan menyebabkan anak lebih memberontak dengan kita.

6. Bermain dan bergurau dengan anak


Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan.

Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka. Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik.

Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting. Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa.

Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.

7. Jadi contoh yang baik


Sebagai orang tua, kita haruslah memberikan contoh yang baik kepada anak. Jika kita sebagai suaimi isteri bertengkar, pastikan tidak didengari oleh anak. Tunjukkan tingkah laku yang baik. Tunjukkan sikap kasih sayang. Jangan menggunakan kata-kata kasar di depan anak-anak.

Jika solat, lakukan secara berjemaah dan biar dapat dilihat oleh anak-anak. Jika ibu tidak boleh solat, anda digalakkan untuk memakai sahaja telekung dan berpura-pura solat bersama supaya anak tidak akan tanya kenapa ibu tidak solat.

Jika anda ingin anak anda baik budi pekertinya, anda haruslah mengamalkan cara memupuk ke arah baik budi pekerti.

Akhir kata


Keluarga yang bahagia sememangnya menjadi idaman setiap keluarga. Tetapi jika dalam keluarga itu timbul masalah, kembalilah kepada Allah dan berdoa supaya dipermudahkan segala urusannya.

Ujian yang diberi oleh Allah untuk menguji sejauh mana keimanan kita kepadanya. Jangan sesekali mengeluh dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, kerana anak adalah rezeki dan pelaburan kita di dunia dan akhirat kelak.

Cuba teknik cara mendidik anak atau tips mendidik anak yang baik ini.

Wallahualam.