Bagaimana Cara Mengatasi Anak Takut Ke Sekolah

Bagaimana Cara Mengatasi Anak Takut Ke Sekolah? Cuba 10 Tips Ini.


Cara Mengatasi Anak Takut Ke Sekolah

Tidak lama lagi, musim persekolahan bakal bermula.Alam tadika tidak sama dengan alam sekolah. Ia lebih mencabar dan anak bakal terdedah dengan persekitaran yang lebih besar.

Mungkin sekarang ibubapa sedang sibuk membuat pendaftaran dan persediaan memasukkan anak-anak ke sekolah yang terpilih. Bagi anak-anak yang baru pertama kali bersekolah, ini adalah pengalaman yang mungkin sangat mengujakan atau mungkin juga menakutkan.


Adakah ini normal?


Pertama kali ke sekolah, anak menangis, memeluk erat ayah atau ibu dan tidak mahu lepas. Adakah ini normal?

Sudah tentu ia adalah normal. Dalam rutin biasa mereka, mungkin mereka hanya di kelilingi ibu ayah, pembantu rumah, adik beradik, atau datuk dan nenek. Tiba-tiba pada suatu hari dia ditinggalkan di sebuah tempat yang sangat asing baginya. Tentu dia merasa sangat takut. Takut jika ibu dan ayahnya tidak kembali mengambilnya dan takut jika tidak dapat pulang ke rumah.

Bagaimana mengatasi anak takut masuk sekolah?


Ini ada 10 cara mudah untuk menghadapi dan menangani masalah ini.

1. Dedahkan anak dari awal tentang sekolah barunya.


Ambil masa, bawa anak naik kereta. Jalan-jalan sambil tunjukkan bakal sekolah yang dia akan pergi. Penting jika anak bakal masuk Darjah 1. Jika ada abang atau akak yang bersekolah di sekolah yang sama, ini tentu lebih mudah.

2. Beli barang-barang sekolah bersama


Ini penting agar dia merasai keterujaan untuk pergi ke sekolah. Biar dia sendiri yang pilih beg sekolah kegemaran. Frozen, Ben 10, Barbie atau apa-apa kartun kegemaran, turutkan sahaja!

3. Selalu bercerita dengan anak


Bercerita tentang apa yang boleh dilakukan di sekolah. Terutama keseronokan belajar dalam bilik darjah, tentang buku, tentang guru dan tentang kawan-kawan. Ceritakan pengalaman ibu semasa di sekolah waktu dahulu.

4. Berikan jaminan


Selalu berikan anak jaminan bahawa di sekolah adalah selamat dan katakana kepadanya bahawa kita akan kembali mengambilnya

5. Letak barang kesayangan


Jika anak masih takut, letakkan sesuatu seperti barang anda di dalam beg sekolahnya. Contoh barang adalah seperti selendang ibu. Katakan kepada anak, jika dia rindu, pegang selendang tersebut. Jangan letak bantal busuk pula!

6. Usah ambil lambat


Sekali berjanji, mesti ditepati. Jangan ambil anak lambat selepas waktu sekolah. Jika kita memungkirinya, anak mungkin sukar untuk mengatasi masalah ketakutannya. Bila sudah mula menangis, anak akan jadi fobia.

Walaupun anak naik bas atau van sekolah, datang juga tunjuk muka.

7. Teman anak waktu rehat


Minggu pertama, anak jadi takut. Mahu beli barang di kantin juga tidak tahu. Ajar anak beli makanan di kantin. Temankan dia agar lebih yakin. Jangan berputus asa. Pujuk anak dan hilangkan ketakutannya.

Masa inilah pentingnya ajak anak kira duit!

8. Ajar anak pergi tandas


Ini antara kebimbangan besar ibu-bapa. Takut anak terkencing atau terberak dalam kelas!

Ini bakal memalukan anak. Tunjukkan anak tandas pada hari pertama. Terus berbincang dengan guru kelas tentang tindakan dan perkembangan anak di sekolah pada minggu pertama.

Ambil nombor telefon guru kelas jika ada.

9. Kenal-kenal dengan kawan tadika


Jika ada kawan yang berjiran, itu juga lebih bagus. Bila mereka berkawan-kawan, anak akan lupa tentang ketakutan diri sendiri. Pergi kantin sama-sama, pergi Pendidikan Jasmani sama-sama. Elakkan anak bersendirian.

10. Bekalkan duit secukupnya


Kalau ada masa untuk masak dan beri anak bawa bekal, itu yang terbaik. Jika ibu-bapa sibuk, berikan duit sahaja untuk mereka belanja di kanti. Namun, jangan sampai banyak sangat. Takut kena ‘pau’ dari pelajar lebih senior. Wang belanja dalam lingkungan RM3-5 adalah yang paling ideal.

Ingat, ibu dan bapa mesti positif dan kuat! – Anak mendapat kekuatan daripada ibu bapa mereka yang juga kuat. Banyak-banyak berdoa pada Allah agar dipermudahkan segalanya.

Semoga ada manfaatnya!