Kementerian Kesihatan Perjelas Isu Bedak Talkum Dan Kanser Ovari

Perjelas Isu Bedak Talkum Dan Kanser Ovari


Mesti ramai yang tahu tentang isu saman di Amerika Syarikat, di mana syarikat terkemuka, Johnson & Johnson telah diarahkan untuk membayar 72 juta USD kepada sebuah keluarga yang mendakwa produk bedak talkum daripada syarikat tersebut menyebabkan kanser ovari.

Walaubagaimanapun, kes ini masih berada dalam siasatan kerana terdapat laporan yang menyatakan bahawa syarikat tersebut sedang dalam proses untuk melawan semula kenyataan tersebut. Pada masa yang sama, tidak ada bukti yang kukuh untuk menunjukkan kes tersebut telah disahkan.


Kenapa Bedak Talkum Dianggap Merbahaya?


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar bertarikh 10 Mac 2016 agar pengguna berhati-hati dengan penggunaan bedak talkum yang dikatakan toksik.

Dalam kenyataan itu juga, organisasi tersebut mendesak agar Kementerian Kesihatan melarang penggunaan bedak talkum dan barang-barang berasaskan talkum kerana ia turut membahayakan bayi.

Ini kerana, partikel daripada bedak talkum ini didakwa mampu menyebabkan tumor dan barah (atau kanser) pada ovari dan juga peparu.

Walaubagaimanapun, secara umumnya para penyelidik masih lagi belum mencapai kata putus dalam menentukan hal sebenarnya dalam kaitan bedak talkum secara langsung dengan kanser ovari.

Menurut sebuah kajian terbaru yang dilaporkan oleh NHS Choices di United Kingdom pada 9 Mac 2016, terdapat 33% kemungkinan yang lebih tinggi mengaitkan pengguna bedak talkum dengan kanser ovari.

Sungguhpun begitu, mereka mendapati pengguna bedak talkum ini biasanya mempunyai ciri-ciri yang juga berkait rapat dengan risiko kanser ovari itu sendiri seperti; umur lebih tua, mempunyai berat badan berlebihan, pesakit lelah, dan mengambil pil penahan sakit dengan kerap.

Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia Berkaitan Isu Bedak Talkum Dan Risiko Kanser Ovari


Menurut  kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 11 Mac 2016, bedak talkum Johnson’s telahpun disemak pangkalan datanya berikutan kes yang mendapat perhatian ramai ini.

Dalam Ulasan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Bin Abdullah, bedak talkum Johnson’s telah disemak dan didapati telah memenuhi semua keperluan yang ditetapkan dalam Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia.

KKM turut menekankan bahawa talkum yang dikelaskan kepada gred kosmetik atau farmaseutikal lazimnya lebih tulen dan tidak mengandungi asbestos (bahan yang dipercayai menyebabkan kanser).

KKM juga menasihatkan orang ramai agar menyemak status notifikasi produk-produk meragukan melalui laman web rasmi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di http://portal.bpfk.gov.my

Untuk membaca kenyataan akhbar penuh klik sini atau rujuki laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.

Jangan Abaikan Penjagaan Wanita Yang Khusus


Walau apa pun, para wanita khususnya digalakkan agar menitikberatkan penjagaan ‘vagina’ dan rahim kerana kanser ovari adalah jenis kanser ke-5 yang paling tinggi dihidapi oleh wanita di Malaysia.

Semua wanita berusia 25 tahun ke atas dianjurkan untuk membuat pemeriksaan ‘pap smear’ bagi mengesan tanda awal kanser pangkal rahim atau kanser ovari ini.

Salah satu cara adalah dengan menukar seluar dalam dengan kerap dan menggunakan seluar dalam jenis kapas agar ia dapat menghalang jangkitan bakteria.

Selain itu, semasa mencuci, gunakan bahan yang minima seperti sabun tanpa bau, pembersih wanita khusus, atau cukup sekadar mencucinya dengan air bersih.