Punca, Rawatan dan Simptom Kanser Payudara


Kanser payudara adalah pembunuh nombor satu dikalangan wanita. Statistik menunjukkan kematian yang disebabkan kanser payudara di kalangan wanita sangat tinggi.


Apakah Itu Kanser Payudara?


Kanser payudara akan terjadi apabila sel normal payudara bertukar struktur dan merebak. Ia menjangkiti tisu dan bahagian lain yang berdekatan seperti kelenjar atau lobul, pembuluh darah, salur limfa dan nodus limfa. Kebiasaannya tumor terbentuk kerana pengumpulan sel tidak normal. Kesemua jenis tisu di dalam payudara boleh membentuk kanser tetapi biasanya ia bermula di dalam kelenjar.

Kanser payudara meyumbangkan peratus yang tertinggi bagi penyakit kanser di kalangan wanita. Kanser payudara berada di tangga kelima bagi kadar kematian akibat kanser dan merupakan penyumbang utama kematian akibat kanser di kalangan wanita. Sepanjang hidupn seseorang wanita mempunyai risiko mengidap kanser payudara sebanyak 1 dalam 8 dan kemungkinan meninggal dunia akibatnya adalah 1 dalam 28.

Pengelasan Kanser Payudara


Kanser payudara dapat diklasifikasikan mengikut beberapa faktor. Faktor yang biasa diambilkira ialah tisu punca, lokasi tumor atau tisu punca, jenis tisu atau histologi, gred tumor, peringkat tumor, kemunculan dan aktiviti tumor, status nodus dan perebakan. Mula-mula sel bertukar struktur tetapi berada di lokasi asal di dalam duktus atau membran basemen lobul. Kemudian berlaku mitosis (penduan sel) dan metastasis (perebakan) melalui membran basemen dan bergerak ke kawasan terpencil di dalam badan.

Tanda dan Gejala Kanser Payudara


Pembentukan gumpulan merupakan tanda biasa yang kekal untuk jangka masa yang panjang. Kemungkinan nodul asimptomatik akan muncul sebelum tanda atau gejala lain timbul. Sakit payudara atau mastodinia atau sakit pada gumpulan merupakan satu lagi gejala kanser payudara di peringkat awal. Kemudian tanda-tanda radang seperti sakit, panas, kemerahan atau bengkak akan berlaku jika salur limfa kecil di dalam kulit dan pembuluh limfatik diserang oleh tisu abnormal. Kulit akan mempunyai tekstur kupasan oren yang juga dirujuk sebagai “peau d’orange”.

Gumpulan mungkin terjadi di payudara atau di ketiak. Rupa payudara juga akan bertukar melalui penebalan atau pertambahan saiz dan bentuk yang tidak sekata. Kulit payudara mungkin kelihatan seperti lekuk atau membentuk rabung. Puting mungkin terpusing ke dalam, menjadi merah atau bersisik atau mempunyai lelehan yang abnormal.Apabila sel kanser merebak ke kawasan lain, akan menjelma tanda seperti demam, seram sejuk, sakit tulang dan sendi, sakit kuning, gejala neurologi dan curahan (efusi) pleura. Kelemahan adalah tanda atau gejala awal kanser payudara mungkin tidak kelihatan, justeru kaum wanita perlu mengambil inisiatif membuat diagnosis dengan memeriksa sendiri payudara dan juga menjalani ujian payudara setiap tahun atau sekerap mungkin.

Tahap Kanser Payudara


Untuk mendiagnosis kanser payudara, pemerhatian dibuat melalui mamografi atau MRI payudara. Peringkat kanser payudara ditentukan mengikut sifat sel atau tahap pembiakan (proliferasi).

Peringkat 0 atau tumor kanser di tempat asalnya (karsinoma in situ) dikira sebagai risiko kanser payudara tanpa kehadiran penyakit itu sendiri. Karsinoma lobular in situ atau LCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam kelenjar payudara. Karsinoma duktal in situ atau DCIS adalah merujuk kepada pengalas sel abnormal di dalam duktus payudara.

Peringkat I merujuk kepada kanser payudara pada peringkat awal di mana ukuran melintang tumor kurang dari 2 sentimeter dan belum lagi merebak sepenuhnya. Peringkat II juga merujuk kepada kanser payudara pada peringkat di mana ukuran tumor adalah antara 2 hingga 5 sentimeter; atau lebih dari 5 sentimeter tetapi belum merebak; atau kurang dari 2 sentimeter tetapi telah merebak ke nodus limfa ketiak.

Peringkat III ialah di mana ukuran melintang tumor telah meningkat ke 5 sentimeter dan telah merebak ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak dengan banyaknya ke nodus limfa ketiak; atau telah merebak ke nodus limfa terpencil di dalam tulang selangka atau tulang dada.

Peringkat IV merujuk kepada situasi di mana kanser payudara telah merebak ke kawasan di luar kawasan dada. Peringkat ini adalah paling bahaya. Kebanyakkan wanita hanya sedar diri mereka terkena kanser payudara selepas peringkat ke 3 dan 4. Peringkat-peringkat ini sudah terlalu bahaya untuk dihadapi.

Kaedah Rawatan Kanser Payudara


Rawatan bagi kanser payudara bergantung kepada ciri-ciri atau kelas kanser payudara. Terdapat beberapa jenis rawatan seperti kemoterapi, pembedahan dan homoeopathy (dan lain-lain rawatan alternatif). Prognosis (ramalan) kanser payudara pada peringkat awal selalunya adalah baik, tetapi di peringkat akhir, seperti juga dengan kanser lain adalah tidak baik. Para wanita diminta berhati-hati dan biasakan diri melakukan pemerikasaan payudara secara sendiri atau ke klinik berhampiran. Kanser payudara juga boleh kena kepada orang lelaki.