7 Sebab Kenapa Ego Lelaki Setinggi Langit



Kalau sebut sahaja mengenai ego, pastinya individu yang seringkali terpalit dengan sikap ini adalah insan yang bergelar lelaki. Ego atau dari pengertiannya yang bermaksud keras kepala serta merasa diri sentiasa betul.

Ia adalah sangat sinonim dengan jantina lelaki.

Pastinya ada sebab mengapa mereka mempunyai ego setinggi langit bukan?

Mengapa ego lelaki setinggi langit?


Dari pemerhatian, ada beberapa sebab mengapa lelaki mempertahankan ego mereka yang tinggi itu.

1) Lelaki sebagai pemimpin


Sejak dari zaman permulaan manusia lagi, lelaki diciptakan sebagai seorang pemimpin. Sifat pemimpin ini menjadikan mereka merasa berkuasa ke atas orang bawahannya yang dianggap lebih lemah. Oleh kerana keputusan berada di tangannya, mereka terdorong untuk menggunakan kuasa veto dan mengenepikan pandangan orang lain.

2) Tidak mahu jatuh maruah


Lelaki merasakan kalau mereka merendahkan ego, maruah mereka seolah-olah jatuh dan dipijak oleh wanita. Jadi, untuk mengelakkan perasan jatuh maruah tersebut, mereka bertindak mengangkat ego mereka setinggi langit dan merasa senang dengan keadaan tersebut.

3) Luaran yang ‘tough’


Sebenarnya lelaki juga diciptakan dengan hati dan perasaan yang lembut dan sensitif di dalam. Namun, manalah kelihatan ‘cool’ kalau mereka menunjukkan sifat tersebut, bukan?

Jadi untuk menutupinya, mereka menggunakan keperibadian luaran yang ego dan kasar.

4) Tidak mahu mengalah


Kalau diikutkan, sifat tidak mahu mengalah adalah satu sifat yang positif. Namun, ia juga mampu menjadikan ego seorang lelaki itu tinggi.

Apabila merasakan pandangan mereka selalu saja betul, mereka cenderung untuk menganggap seorang isteri atau wanita perlu mengikut kata-kata dan pandangan mereka sebagai ketua keluarga.

5) Sifat kelelakian


Ego yang tinggi merupakan sifat semula jadi seorang lelaki sebenarnya. Kalau wanita itu diciptakan dengan emosi yang lemah dan goyah, tugas seorang lelakilah untuk mengeraskan dirinya dan melengkapi sesebuah perhubungan. Kalau dua-dua pihak mempunyai hati tisu, kucar-kacirlah semuanya!

6) Ingin dipatuhi


Lelaki mempamerkan ego mereka sebagai ‘warning’ kepada wanita bahawa mereka perlu dipatuhi. Mereka tidak mahu wanita memandang enteng kata-kata dan pandangan mereka. Justeru lelaki selalu menggunakan kuasa veto mereka di dalam perhubungan dan kelihatan egois.

7) Tidak boleh menerima kritikan/teguran


Kebanyakan lelaki juga tidak boleh menerima kritikan dan teguran, terutamanya daripada kaum hawa. Mereka merasakan diri sentiasa betul. Sifat keras kepala ini menjadikan ego lelaki itu lebih meninggi.

Ego Lelaki Itu Lumrah, Tapi Ia Boleh Dikawal


Sebenarnya, bukan semua ego lelaki ditunjukkan secara negatif. Ia juga berfungsi untuk melindungi keluarga dan wanita yang disayanginya. Walaupun tidak menunjukkan persetujuan, mereka mungkin akan membuat perubahan kecil terhadap kritikan atau nasihat yang diterima.

Yang perlu dielak ialah ego tidak bertempat dan berperangai macam anak kecil, walaupun terhadap perkara yang remeh. Lelaki yang matang mampu memikirkan hal yang relevan secara berhemah dan tenang.

Seelok-eloknya, harungilah perhubungan dengan berlandaskan hukum agama supaya kita dapat membuat keputusan yang ideal untuk rumah tangga bahagia.

Walau apa pun, tugas seorang isterilah untuk menangani dan melembutkan ego sang suami. Kalau mereka api, kitalah airnya bukan?